Thursday 1 November 2012

Cinta Dalam Islam : Matlamat Dalam Cinta

" Pernikahan Ketika Di Usia Muda Bukan Penghalang Untuk Belajar "


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…
Sesungguhnya, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari kata-kata yang sesat lagi menyesatkan…
Asaalamualaikum…
CINTA, CINTA, CINTA DAN CINTA… Kita sering saja diperdengarkan dengan istilah cinta dan permasalahan cinta. Tapi berapa ramaikah di antara kita yang mengkaji apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan CINTA. Sebaliknya, ramai dalam kalangan kita yang hanya ingin menikmati rasa cinta sedangkan ada yang tersurat dan tersirat dalam rasa cinta itu. Mereka dengan mudahnya memperoleh cinta, sedangkan hakikatnya rasa cinta itu paling sukar untuk dinilai, ditafsir, dimiliki dan diungkapkan. Dan mereka inilah golongan yang tidak pernah rasa puas dengan hanya memiliki satu rasa cinta, bahkan mereka inilah yang tidak pernah mengerti apa itu kesetiaan, penghargaan dan kejujuran dalam sesuatu hubungan.
Sesuai dengan peredaraan masa, kita dapat melihat dan mendengar tentang kes-kes yang berkaitan dengan cinta. Persoalannya, adakah itu cinta? Ataupun nafsu? Kes-kes seperti ini berlaku kerana mereka yang bercinta ini tidak mempunyai matlamat. Apakah ada dalam kalangan kita yang mempunyai matlamat dalam bercinta? Jika jawapannya Ya, apakah sesuai matlamat kita itu dengan tuntutan syara’? Jika Tidak, apakah kita tidak serius dalam bercinta?
Dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan, seharusnya kita meletakkan matlamat agar perkerjaan itu tidaklah menjadi sesuatu yang sia-sia atau merugikan masa dengan melakukannya. Sebagai contoh, bila kita makan. Apakah matlamat kita untuk makan? Untuk membekalkan tenaga atau untuk menghilangkan rasa lapar atau untuk mengelakkan daripada dapat penyakit. Atau adakah di antara kita yang makan hanya untuk suka-suka. Tak ada matlamat langsung. Hanya sekadar menurut hawa nafsu.
Begitulah juga dengan tidur. Adakah kita tidur hanya untuk suka-suka. Sudah tentu tidak kan. Sudah semestinya kita tidur kerana ingin merehatkan badan dari keletihan, betul tak. Kalau begitu, mengapa kita tidak meletakkan matlamat ketika kita melafazkan cinta kepada seseorang, sama ada lelaki atau perempuan. Adakah kita menganggap cinta itu satu permainan ataupun sekadar membuang masa. Jika itu yang bermain di fikiran, seeloknya kita ubahlah ia dengan tanggapan yang baik terhadap cinta.
Namun begitu, matlamat yang ingin diletakkan sebelum melafazkan cinta seharusnya bersesuaian dengan syara’ dan tidak melanggar hukum-hukum yang ditetapkan dalam Islam. Cinta yang mempunyai matlamat bukan sahaja menjamin kebahagian dalam jangka masa yang pendek, tetapi InsyaAllah kebahagiaan yang berterusan sehingga ke akhirat.
Pernah kita terfikir apakah kesannya jika cinta itu tiada matlamat? Sukar untuk dicapai dengan akal atau sukar untuk dibayangkan betapa besarnya kemusnahan yang akan berlaku jika cinta yang disebarkan itu tiada matlamat. Antara kesannya ialah mudah untuk berlaku pergaduhan antara lelaki dan lelaki atau perempaun dan perempuan hanya kerana gagal memiliki cinta yang direbutkan. Cuba kita fikirkan, apakah yang kita perolehi daripada memiliki cinta yang tiada matlamat? Adakah kita merasa puas jika memiliki cinta itu? Atau adakah kita merasakan bahagia jika memiliki cinta kosong itu?
Sudah tentu ramai yang mengatakan tidak. Kerana apa? Kerana ramai di antara kita yang menginginkan kebahagiaan dalam setiap perhubungan. Bagaimana mungkin kita memiliki kebahagian jika pekerjaan yang kita lakukan itu tidak mempunyai matlamat. Matlamat sebenarnya bukanlah setakat penting untuk kita peroleh sesuatu daripada apa yang kita usahakan. Tetapi, matlamat adalah bertujuan untuk kita menjadikan setiap perkara yang kita lakukan itu bukanlah sesuatu yang sia-sia.
Kebanyakan orang yang berjaya dalam hidup mereka adalah mereka yang mempunyai matlamat. Matlamat dalam hidup akan menjadikan manusia itu lebih bersungguh-sungguh dalam mengerjakan sesuatu yang ingin dilakukan. Jika hidup tanpa matlamat, ibarat seorang perenang yang berenang di tengah-tengah lautan di mana dia sendiri tidak tahu manakah hala tujunya. Matlamat juga boleh diumpamakan seperti kunci dalam sesebuah kejayaan.
Begitu juga dalam percintaan. Matlamat adalah kunci kepada kebahagiaan dalam perhubungan. Tetapi, seandainya matlamat yang dipendam itu berunsurkan perkara yang negatif, apalah guna ia menjadi matlamat. Sedangkan itulah yang akan menghancurkan hidup kita. Jika matlamat kita adalah untuk mengharapkan keredhaanNya, nescaya kebahagiaan dunia dan akhirat yang akan kita peroleh. Bukan susah untuk kita memperoleh keberkatan dariNya sekiranya kita tidak melakukan perkara yang dilarang. Dan bukan susah juga untuk kita memperoleh kemurkaaNya sekiranya kita melakukan apa yang dilarang dalam berhubungan. Apa yang penting adalah matlamat yang bersih. Jika kunci yang kita miliki itu bersih dan suci, insyaAllah kejayaan dan kebahagiaan yang diimpikan itu akan memberi kebaikan kepada diri sendiri.
Nota: Kepada lelaki yang sedang mencari cinta, carilah bakal isteri yang benar-benar mencintaimu nescaya akan selamatkanlah kamu dari fitnah mereka. Dan janganlah kamu mencari isteri kerana kamu mencintainya, kerana itu akan menyusahkanmu. Kepada isteri yang sedang mencintai dan dicintai suami, cintailah suamimu seadanya kerana itulah yang lebih baik bagimu. Dan janganlah kamu mencintai suamimu kerana harta, pangkat ataupun darjat, nescaya itulah pembinasa hidupmu suatu hari nanti. Kepada cinta yang sedang berterbangan mencari pohon-pohon kasih, carilah pohon-pohon yang padanya ada cahaya-cahaya keimanan yang akan menjanjikan kebahagiaan buatmu di dunia mahupun akhirat.

Doa: Ya Allah, jika dia benar untuk, dekatkanlah hatiku dengan hatinya. Jika dia bukan milikku, damaikanlah aku dengan ketentuanMu dan tetapkanlah aku dalam agamaMu.

Artikel ini ditulis oleh Allahyarham Muhammad Afez yang merupakan bekas pelajar Matrikulasi Johor. Al Fatihah.


No comments:

Post a Comment